Translate

No-No-NO!

#10 Azie Azif Umrah Makkah Madinah Nov 2016 : Pengalaman Di Raudhah (Part 8)


Assalamualaikum

Sebagaimana Rasulullah bersabda:
"Antara mimbarku dan rumahku merupakan taman dari taman-taman syurga (HR. Al Bukhari & Muslim)

Taman-taman syurga ini merupakan tempat di mana Rasulullah SAW beribadah, mengimamkan solat, menerima wahyu, berehat dan beribadah bersama Para Sahabat.

Raudhah berada di dalam Masjid Nabi iaitu Masjid Nabawi di Madinah Al Munawwarah. Raudhah bermaksud taman syurga. Dahulu Raudhah Nabi ini adalah ruang di antara mimbar dan kamar Rasulullah di dalam Masjid Nabawi.


Nampak tak kubah hijau? Kubah hijau itulah terletaknya Makam Nabi yang kita cintai iaitu Nabi Muhammad SAW. Di bawah kubah hijau itulah terletaknya Raudhah. Taman syurga di dunia yang menjadi keinginan muslimin dan muslimat pelusuk dunia untuk masuk memberi salam kepada Rasulullah dan ingin melakukan solat sunat serta berdoa di situ. Doa-doa yang dipanjatkan dari Raudhah ini diyakini akan dikabulkan oleh Allah. 

Kali pertama menjejakkan kaki di dalam Raudhah, sukar untuk dizahirkan dengan kata-kata. Anda yang dah pernah sampai pasti rasai apa yang saya rasaikan? Melihat pada gambar yang diambil suami ini, rindu yang TERamat-amat-amat sangat pada suasana ketenangan dan kedamaian di Masjid Nabawi. Lupa hal perihal duniawi seketika. Waktu ini menunggu matahari terbenam masuk waktu Maghrib di Masjid Nabawi.

Sebelum itu, inilah ubat cirit birit yang Azie cerita dalam entry sebelum ini. Anda jangan tiru macam saya. Penting bawa ubat-ubatan ketika menunaikan umrah. Kalau dah sakit diri sendiri yang susah.

Mohonlah doa. Mohonlah kekuatan pada Allah. InshaAllah Allah Maha Mendengar. Allah Maha Pengasih Maha Penyayang. Ajaib. Hilang cirit birit selama waktu ke Raudhah. Dipendekkan cerita syukur Alhamdulillah Allah permudahkan niat dan azam kuat saya yang ingin bersolat dan berdoa di dalam Raudhah walaupun hadapi masalah cirit birit.


Sebelum bertolak menuju Raudhah tempat wanita dalam Masjid Nabawi, ada taklimat diberi kepada kaum wanita di lobi hotel. Taklimat disampaikan Ustazah bervest biru. Taklimat merangkumi gambaran awal suasana di dalam Raudhah, apa yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas masuk Raudhah, bagaimana cara memberi salam yang betul kepada Rasulullah dan para sahabat. Bagaimana cara ingin jamakkan salam dari kaum keluarga, jiran tetangga, kawan-kawan yang mengirim salam pada Rasulullah. Ustazah ajar bagaimana cara berdoa yang betul di dalam Raudhah. Dan banyak ilmu-ilmu yang disampaikan ustazah. Lagi sekali from my humble experience ilmu itu paling penting sebelum pergi umrah.


Dari hotel tempat kami menginap Hotel Mawwadah Al Waha, masuk Masjid Nabawi melalui pintu 15. Kemudian jalan lurus sampai ke pintu 25 (pintu wanita paling hujung) untuk masuk ke Raudhah. Sebenarnya agak jauh hendak berjalan. Yang muda mudi tiada masalah. Warga emas yang sakit lutut atau tak kuat berjalan mungkin ada sedikit masalah. Jadi kalau anda ke Madinah boleh cari hotel yang berdekatan dengan pintu/Gate 25. Bangunan yang anda nampak di sebelah kiri tu adalah hotel. Di bawahnya terdapat lot-lot kedai untuk shopping. 

Tiba sahaja depan Masjid Nabawi, MashaAllah...terpesona dengan keindahan dan ketenangan Masjid Nabawi. Warna putih. Dataran masjid yang sangat besar dan luas sehingga boleh menempatkan 1 juta jemaah terutama ketika musim haji. Dapat melihat payung gergasi di depan mata sendiri. Dapat melihat Kubah Hijau, makam Rasulullah perasaan dalam diri bercampur baur. Sebak sangat. Alhamdulillah impian, cita-cita, keinginan nak menunaikan umrah yang berkobar-kobar selama ini tercapai ketika usia 35 tahun. Usia yang tidak terlalu muda dan tidak terlalu berusia. Syukur. 

Ketika kami lalu menuju ke pintu/Gate 25, nampak beberapa jemaah Malaysia tengah ambil wuduk di tempat terbuka tetapi cara sembunyi2. Walaupun begitu, semua yang lalu lalang boleh nampak. Ustazah pesan, jangan ambil wuduk di tempat terbuka. Terdedah aurat kita secara tak sengaja. Datang ke sini untuk diampunkan dosa, mengumpul pahala bukan untuk buat dosa. Huhu. Ambilah wuduk di tempat tertutup yang dikhaskan untuk WANITA. Sebenarnya jemaah Malaysia ni bukan sengaja nak wuduk kat situ. Mungkin 1) Tandas & tempat wuduk wanita jauh 2) Tak jumpa cari. Nak cepat punya pasal tempat wuduk lelaki pun jadi. Jadi, buatlah yang terbaik untuk diri sendiri. InshaAllah.

Ini merupakan tempat masuk Raudhah atau pun ruang menunggu giliran masuk di bahagian wanita. Sebelum sampai ke sini, ustazah bawa kami ke suatu tempat lapang dalam masjid untuk lakukan solat-solat sunat. Antaranya Tahiyatul Masjid, Dhuha, Mutlak (2 rakaat), Taubat, Hajat. Lama kami di sini, ada yang sempat mengaji Al Quran lagi. Sekian lama menunggu baru kami di bawa ke sini. Di sini kami menunggu lagi. Ketika kami sampai nampak kumpulan dari Reyhar dah sedia menunggu giliran untuk masuk.

Kata ustazah, Malaysia merupakan kumpulan atau jemaah terakhir yang akan masuk dalam Raudhah. Lepas pada kain putih inilah Raudhah (taman-taman syurga). Macam mana nak kenal kawasan Raudhah? Ditandai melalui karpetnya. Karpet hijau merupakan kawasan Raudhah. Membentang dari rumah Rasulullah SAW (yang kini menjadi makam beliau) hingga ke mimbar. Sekitar 26 x 15 meter. Bahagian wanita hanya dapat sedikit sahaja dari keluasan asal Raudhah. Ibn Hajar Al-Asqalani dan Imam Nawawi mengatakan bahawa di sinilah tempat seharusnya diperbanyakkan doa. Tempat ini diberikan nama raudhah oleh Rasulullah sendiri.
Kalau karpet merah belum lagi tau. 

Pertama kali masuk di Raudhah, Allah SWT beri peluang istimewa sampai ke saf pertamašŸ˜­  Betul-betul mengadap penghadang putih tu berdekatan dengan tiang belah kanan. Allahu Akbar. Pengalaman ini teramat manis dan akan diingati sampai mati.


Heaven on earth. Bila ustazah bagi signal masuk, berpusu-pusu jemaah Malaysia bangun dan masuk dalam Raudhah. Jemaah Malaysia merupakan jemaah terakhir. Bermakna pintu masuk Raudhah dah ditutup. Saya antara yang duduk depan-depan jadi antara paling awal juga yang masuk dalam Raudhah. Dalam Raudhah memang penuh dengan muslimat. Cuma keadaannya tidaklah bertolak-tolakan. Masing-masing sabar menanti giliran. Mula-mula tu memang tak nampak warna karpet. Nak solat apetah lagi. Asal ada ruang je, orang terus ambil peluang solat. Masa ini memang buku panduan ke buku gantung ke tak dapat nak rujuk dah. Apetah lagi nak belek-belek. Memang tak sempat. 

Nampak je karpet hijau, kelopak mata dah basah. Air mata dah mula mengalir. Mula-mula bagi salam dulu pada Rasulullah dan Para Sahabat Abu Bakar As Shiddiq dan Umar bin Khattab. Lepas tu sampaikan salam daripada keluarga dan kawan-kawan yang kirim salam. 

Selesai itu baru mula berdoa mohon Allah izin , beri dan mudahkan peluang untuk solat di dalam Raudhah. Allah SWT beri ganjaran 1,000 pahala untuk mereka yang bersolat di dalam Raudhah. Kemudian nampak sedikit ruang untuk solat. Azie ambil peluang solat di situ, sekali nak sujud, ada pulak orang masuk dan solat betul betul di tempat sujud. Tindakan reflek ketika tu, terus sujud tapi senget sikit mencari ruang mana kosong yang boleh sujud. Kebetulan pulak ustazah Andalusia yang bawa kami tu ada tak jauh dari situ tengah jaga dan perhati ruang kosong. Dia tegur Azie. Dia cakap tak sah solat sunat tu sebab dah lari arah kiblat. Dia suruh azie solat semula. Sujud kena ikut arah kiblat. MashaAllah. AllahuAkbar. Mujurlah ustazah nampak dan tegur Azie. Sungguh jahil. Takda ilmu macam tu lah. Huhu. Jadi walaupun dalam Raudhah tu sesak atau penuh mohon bersabar. Kalau tiada ruang untuk sujud, jangan sujud. Teruskan berdoa.

Ustazah cari ruang kosong dan beri ruang Azie solat, barulah ada peluang dan ruang untuk sujud. Peluang yang singkat tu, Azie usaha solat sunat sesempat dan sebanyak yang boleh. Selesai solat, ustazah suruh maju ke depan. Tempat Azie solat tadi ustazah nak beri pada orang lain pulak. Maknanya dalam erti kata lain tak payah keluar Raudhah lagi. Azie maju ke depan. Ada ruang dan peluang solat sunat lagi. Kemudian maju lagi ke depan sampailah dapat masuk ke saf pertama betul-betul depan penghadang putih tu. MashaAllah sampai ke sini Allah beri peluang dan ruang pada Azie. Masa ni air mata keluar dah hujan lebat. Banjir kelopak mata. Peluang ni Azie manfaatkan solat sunat lagi Taubat & Hajat terutamanya. Mohon doa sebanyak yang mungkin. Semestinya doa untuk suami, ibu bapa, adik beradik, untuk keluarga dan kawan2. Masa ini lah peluang untuk meminta-minta dengan Allah SWT. Moga Allah dengar dan makbul suatu hari nanti. Tak sedar sampai menangis teresak-esak. Syahdu dan betul-betul emosi waktu ini.

Selesai solat, beri peluang untuk orang lain solat di saf pertama pulak. Eh baru perasan dalam Raudhah dah lengang. Nampak banyak ruang karpet hijau. Eh boleh solat lagi ni selagi takda orang halau. Sebabnya pintu Raudhah dah tutup. Tiada lagi yang boleh masuk. Azie ambil lagi peluang ni untuk solat sunat dan berdoa lagi di saf belakang pulak. Selesai solat, terpinga-pinga nak keluar ke tak ni. Macam rugi je keluar sebab suasana dah lengang. Azie ambil peluang snap beberapa gambar sebagai kenangan di dalam Raudhah. Sempat pulak acik sorang ni snapkan gambar untuk Azie. Maka terhasillah gambar di atas :D Selesai ambil gambar, Azie ambil sedikit moment perhatikan keliling dan suasana dalam Raudhah tu. Perhati sebab nak ingat moment ni sampai bila-bila. Jiwa rasa tenang dan lapang selapangnya. 

Tak lama lepas tu barulah dengar suara petugas wanita yang berjubah dan berpurdah hitam arahkan semua muslimat yang tinggal untuk keluar dari area Raudhah. Sebab area tu nak buka untuk lelaki. Dengan berat hati langkah keluar sorang diri.

Tengok keliling aaaa sudah. Mana pergi semua jemaah Andalusia ni. Tak nampak pun jemaah Malaysia. Jalan keluar dari Raudhah menuju pintu masuk tadi sunyi tak macam awal-awal pagi tadi. Sesak dan penuh dengan muslimat yang sedang menunggu giliran.


Setelah keluar dari Raudhah tengok keliling baru nampak Kubah Hijau ni. Snap gambar kejap untuk kenangan. Yang di atas ni..merupakan pintu keluar dari Raudhah. Sampai luar baru nampak jemaah Malaysia dah tengah baca doa dah hujung-hujung untuk penghuni-penghuni di perkuburan Baqi'. Selesai itu, barulah bersurai. 

Pekuburan Baqi, terkenal dengan nama Jannah al-BaqÄ«’ (kebun atau taman Surga) dan juga BaqÄ«’ al-Gharqad (taman pepohonan kecil) merupakan tempat persemadian keluarga, isteri, anak, dan lebih 10,000 para sahabat Nabi Muhammad SAW dan penduduk Kota Madinah. Jemaah Haji dan Umrah yang meninggal di Madinah juga akan bersemadi di sini. Bertuah sangat! Berdoa untuk mati di Madinah juga.

Rasulullah bersabda: “Aku adalah orang pertama yang akan dikeluarkan dari bumi pada hari kiamat, dan aku adalah orang pertama yang akan dibangkitkan. Aku, Abu Bakar ra. dan Umar ra. keluar menuju pemakaman Baqi`, kemudian mereka semua dibangkitkan, lalu penduduk Mekah. Kemudian semuanya berkumpul memenuhi antara Dua Tanah Haram, Madinah dan Mekah).” 
Abdullah bin Umar menceritakan, bahwa Rasulullah telah bersabda, “Barang siapa yang mati di Kota Madinah hendaklah dia mati, sesungguhnya aku memberikan syafa`at bagi yang mati di dalamnya.” Ada lagi sabda Rasulullah yang mengatakan: “Barang siapa yang mati di salah satu dua kota suci (mekah dan Madinah) maka kelak dia akan dibangkitkan dalam keadaan aman pada hari Kiamat.” - Qureta.com

Azie share juga gambar dari phone suami ketika beliau menuju ke Raudhah.

Dalam Raudhah di bahagian lelaki


Terdapat tiga pintu, pintu yang paling kanan itulah terletaknya makam Nabi. Pintu yang kembar itu terletaknya makam dua sahabat Nabi iaitu Abu Bakar As Siddiq dan Umar Al Khatab. Sebenarnya ada satu lagi lubang disebelah Pintu Makam Sahabat (sebelah Kanan), dikatakan makam di situ masih kosong, kerana ianya adalah tempat Nabi Allah Isa a.s akan dikebumikan selepas turun ke bumi di akhir zaman nanti. Wallahu'alam


Pintu As Salam di Masjid Nabawi. Jemaah lelaki disarankan masuk Masjid Nabawi melalui pintu ini. Ada bacaan dan doa nya.


Pengalaman manis pertama kali masuk ke Raudhah akan terpahat di hati selamanya. Moga ada peluang lagi pergi ke sini. Moga anda semua dan saya juga dijemput Allah lagi ke sini :D





2 comments:

  1. Subhanallah , Alhamdulillah Azy di usia yang muda telah melihat pelbagai pelusuk dunia dan keindahannya,kak ana sentiasa berdoa agar satu hari nanti cukuplah jika sekadar diizinkanNya menjejak kaki ke tanah suci ni, Aamiin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak Ana,
      Alhamdulillah Kak Ana. Alhamdulillah dan syukur sangat2. InshaAllah setiap perjalanan musafir melihat dunia akan Azie coretkan dalam blog ini. Azie sendiri pun tak sangka boleh dapat peluang musafir di banyak tempat. Rezeki setiap orang berbeza-beza kan.

      Kak Ana, sentiasa doa banyak2 agar Allah jemput Kak Ana & keluarga ke sana suatu hari nanti :D

      Delete